Fokus menang di kawasan masing-masing, elak bincang polemik politik

SUNGAI SIPUT: Semua calon Barisan Nasional (BN) perlu memfokuskan usaha untuk menang di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang bentuk polemik dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara terbuka sehingga mengganggu gerak kerja dan tumpuan parti untuk menang pilihan raya

“Isu sekarang ini adalah untuk hadapi pilihan raya, bukannya isu dalaman parti. Semua calon-calon perlu fokus kepada kawasan masing-masing untuk menang.

“Kurangkan polemik sesama kita. Apa yang penting, kita bergerak ke depan untuk menang, fokus kita bekerja adalah untuk menang,” katanya dalam sidang media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti di Felda Lasah hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semua ahli UMNO dan BN diminta agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kekalahan parti pada parti pada PRU14.

Katanya, perkara yang telah berlalu tidak perlu ditangisi sebaliknya usaha perlu diperhebat lagi bagi memastikan BN kembali menjadi kerajaan dan menguasai Putrajaya.

“Kita lupakanlah PRU14, siapa salah atau siapa tidak salah, itu kita tidak perlu bincangkan lagi. Kita perlu bergerak ke hadapan, apa yang penting, bagaimana kita perlu menang dalam PRU15 ini.

“Jangan kita tangisi benda yang lepas, itu tidak akan merubah apa-apa. Yang penting kita belajar daripada kesilapan dan pastikan kita menang dan menjadi parti dominan dan kuasai semula Putrajaya. Itu sahaja sasaran kita, kita mahu menang,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *