Calon PH lihat Sungai Lembing bagai dianaktirikan, mahu bawa perubahan

KUANTAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Datuk Seri Ahmad Omar mahu mengubah dan membela nasib rakyat di kawasan itu jika menang Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menurutnya, hasrat itu menjadi keutamaannya kerana beliau berpandangan pekan Sungai Lembing itu seolah-olah dianaktirikan membabitkan aspek pembangunan oleh wakil rakyat terdahulu.

“Kita ambil contoh banjir, sekian lama tiada penyelesaian isu banjir terutama di Pekan Sungai Lembing.

“Di Pahang ini tiada orang ke yang boleh selesaikan masalah sungai? Ini hasrat saya, jika menang saya akan berusaha menyelesaikan isu ini yang sekian lama membelenggu penduduk di Pekan Sungai Lembing.

“Begitu juga isu lain membabitkan soal infrastruktur, jalan raya, isu gangguan bekalan air dan elektrik, capaian internet, isu masyarakat Felda dan kampung akan saya berikan keutamaan jika dipilih,” katanya di sini semalam.

Ahmad yang merupakan anak tempatan lahir di Kampung Tengah, Sungai Lembing berkata, beliau telah lebih tiga tahun berkhidmat di Sungai Lembing atas tiket pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Desa Harapan.

Beliau berkata, menerusi NGO tersebut, beliau bergerak di setiap kawasan dalam DUN Sungai Lembing termasuk di kawasan tanah rancangan Felda di sini.

“Jadi apabila saya bergerak atas NGO, saya dapati kebanyakkan warga Sungai Lembing dan Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu serta Kuala Kenau masih ramai yang hidup susah.

“Sebagai anak Sungai Lembing tentunya saya terkilan kerana tempat lahir saya ini tiada perubahan seakan dipinggirkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, untuk membawa perubahan di Sungai Lembing beliau perlu mempunyai kuasa dan menang di situ.

“Kuasa bukan sahaja menang di Sungai Lembing tetapi kita (PH) perlu menang di Pahang sekali gus membentuk kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *