Zahid jadi PM hanya mainan politik pembangkang – Ismail Sabri

BERA : Pembangkang dilihat ketandusan isu apabila terus mengulangi tohmahan kononnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri sekitaranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sedangkan jelas, BN telah menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri dari gabungan tersebut.

Memetik laporan portal berita FMT, Ismail Sabri berkata, musuh politik BN terus menggunakan taktik berkenaan untuk mengelirukan pengundi meskipun tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan calon PM oleh UMNO dan BN.

Kata Naib Presiden UMNO itu, tohmahan itu juga bertujuan memecahbelah kepimpinan UMNO dan BN tetapi akhirnya mendedahkan pembangkang ketandusan isu.

“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini sahaja,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terus memainkan naratif bahawa Ahmad Zahid mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail diumumkan sebagai ‘poster boy’ BN dan calon PM PRU15.

Pemimpin PH memberi amaran bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tegas menafikan dakwaan itu namun ia terus diuar-uarkan pembangkang yang ghairah menjadikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sasaran utama dalam kempen mereka, kerana kes mahkamahnya berkaitan penyelewengan dana.

Dalam pada itu, calon BN Parlimen Bera itu juga menyifatkan dakyah yang disebarkan itu sebagai cara tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.

“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi (kepada) BN,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon Perdana Menteri.

“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO, dan perhimpunan agung UMNO. Malah, disambut oleh parti-parti komponen (BN),” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *