Penduduk Gua Musang resah jambatan kerap tenggelam

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk di Kampung Batu 6 di sini mendakwa kehidupan mereka terjejas setiap kali hujan lebat selepas jambatan sementara yang dibina merentangi Sungai Galas sering ditenggelami air.

Dakwa penduduk, jambatan sementara itu merupakan nadi utama penduduk keluar masuk dari Kampung Batu 6 ke Kampung Batu 5 untuk ke Bandar Gua Musang.

Seorang penduduk kampung, Suzuki Sulaiman, 46, mendakwa jambatan tersebut kerap kali ditenggelami air sejak bulan lalu susulan hujan lebat.

Menurutnya, kebiasaan ia kembali boleh digunakan 10 jam kemudian selepas ditenggelami air.

“Jika hujan lebat, jambatan besi itu akan ditenggelami air menyebabkan anak-anak kami tidak dapat ke sekolah.

“Keadaan itu merisaukan kami kerana anak-anak yang akan menduduki peperiksaan tahun ini kerap kali tidak dapat ke sekolah. Kebanyakan anak di sini bersekolah di bandar Gua Musang yang terletak 30 kilometer,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rozi Ismail, 68, memberitahu, sebelum ini penduduk kampung menggunakan jambatan konkrit, namun runtuh dihanyutkan arus banjir dua tahun lalu.

Katanya, penduduk pernah dijanjikan untuk pembinaan jambatan kekal pada Mei lalu, namun sehingga kini masih belum terlaksana.

“Kami bimbang kerana kini memasuki musim tengkujuh menyebabkan jambatan besi itu akan kerap tenggelam.

“Saya berharap pihak berwajib dapat mempercepatkan pembinaan jambatan kekal lebih kukuh supaya lebih memudahkan kami keluar berurusan di bandar Gua Musang dan menghantar anak ke sekolah,” ujarnya.

Kredit: Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *