Pembangunan di Sarawak akan diteruskan jika BN terus diberi mandat – PM

 

SELANGAU: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan meneruskan komitmen bagi membangunkan Sarawak sekiranya masih diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir di peringkat pusat.

Menurut Ismail Sabri, semua aspek pembangunan akan diberikan perhatian selepas ini termasuk membabitkan pelebaran infrastruktur rangkaian internet di seluruh negeri itu dalam memastikan jurang kemajuan tidak terlalu besar dengan kawasan Semenanjung Malaysia.

Katanya, menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), kerajaan pimpinan beliau turut memberikan fokus kepada negeri Sabah dan Sarawak dengan menyediakan sebanyak 636 tapak infrastruktur digital.

“Dalam tempoh dua tahun, kita juga menjangkakan capaian internet di seluruh Sarawak akan mendapat liputan sebanyak 100 peratus,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau dan Penyerahan Peranti Siswa, di Selangau-Sibu hari ini.

Dalam pada itu, Ismail yang juga merupakan Naib Presiden UMNO berkata, menerusi Bajet 2023, kerajaan pimpinan beliau telah memperuntukkan sebanyak RM5.4 billion untuk projek pembangunan di Sarawak.

Ujarnya, harga barangan di kawasan pendalaman yang jauh berbeza dengan kawasan bandar juga akan terus menjadi fokus kerajaan bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat di negeri itu.

“Sebanyak RM100 juta diperuntukan dalam Bajet 2023 bagi projek infrastruktur bekalan air Samalaju Fasa 3, RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak dengan pembinaan 10 buah taska KEMAS termasuk RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan pimpinan beliau juga akan meneruskan semula projek-projek yang dibatalkan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu mentadbir negara selama 22 bulan.

Katanya, sejumlah RM1.2 billion diperuntukkan dalam Bajet 2023 juga bagi menaik taraf infrastruktur sekolah daif melibatkan 182 projek di Sarawak.

“Jadi kita akan teruskan (projek yang dibatalkan) dan saya percaya projek ini akan berterusan sehingga semua sekolah daif dapat dinaik taraf di Sarawak,” katanya.

Tambahnya, sebanyak tujuh Projek Perumahan Rakyat akan turut dilaksanakan di Sabah dan Sarawak melibatkan 3,202 rumah kos rendah.

“Kerajaan yang dipilih pada PRU15 nanti mestilah kerajaan yang bertanggungjawab bukannya membatalkan projek demi kepentingan rakyat.

“Sebab itu, jangan tersalah membuat pilihan. Jika tersalah, yang merana adalah kita (rakyat dan penduduk di negara ini),” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *