Musim tengkujuh: Nelayan cari sumber rezeki lain sara keluarga

KUALA TERENGGANU: Golongan nelayan di Terengganu terutama kategori pesisir pantai terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan yang lain setiap kali tiba musim tengkujuh untuk mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga mereka.

Ini kerana mereka tidak dapat turun ke laut seperti biasa berikutan angin kencang, ombak dan gelombang yang kuat memberi risiko terhadap keselamatan nyawa menyebabkan pendapatan mereka terjejas lebih 50 peratus.

Seorang nelayan di Kampung Kuala Abang, Dungun, Armi Ali, 51 berkata, beliau hanya ke laut sekali atau dua kali sahaja dalam tempoh seminggu sepanjang musim tengkujuh, bergantung kepada cuaca harian kerana bimbangkan keselamatannya.

“Kalau hujan terlalu lebat dan angin kuat, saya tidak akan keluar menangkap ikan sebaliknya hanya duduk di rumah membaiki bubu atau pukat yang rosak.

“Ada juga kawan-kawan nelayan yang lain ambil upah me­sin rumput, buat kerja tukang rumah di kampung atau jadi pembantu kedai makan di mana-mana warung saudara atau kawan yang berdekatan.

“Pendek kata, apa sahaja pekerjaan sementara yang boleh dibuat ketika tengkujuh, nelayan akan buat untuk mengisi perut anak isteri,” katanya ketika ditemui

Nelayan di Kampung Pulau Duyong, di sini, Mohd. Bukhari Aziz, 36, pula berkata, kebanyakan nelayan tidak mempunyai kemahiran lain menyebabkan segelintir mereka masih berani turun ke laut sekiranya cuaca mengizinkan.

“Memang ada yang cari pendapatan lain untuk sementara waktu macam ambil upah mengurut, buat kerja-kerja kampung, tapi jika cuaca panas sehari dua, pasti akan turun juga ke laut kerana tangkapan agak banyak.

“Ada lah kaedah perkiraan kami untuk turun ke laut ni, tengok waktu anak bulan, arah angin dan ikut juga ramalan Jabatan Meteorologi berkaitan fenomena cuaca yang dijangka berlaku.

“Setakat ini, Alhamdulillah rezeki yang ada masih mencukupi, terima kasih juga kepada kerajaan kerana memberi bantuan bulanan RM300 untuk kami, dapat lah bertahan sementara waktu sepanjang tempoh yang sukar ini,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan kategori zon B, Bahiyuddin Awang @ Harun, 36, pula berkata, dia masih mampu turun ke laut kerana bot yang digunakan bersaiz besar, dilengkapi peralatan keselamatan dan alat komunikasi seperti yang disaran Jabatan Perikanan.

 

Kredit : Utusan

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *