Lebuhraya Pan Borneo -Selangau dibuka, bantu lonjak ekonomi penduduk setempat

SELANGAU: Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer yang dibuka bermula hari ini bakal membantu dalam melonjakkan ekonomi penduduk setempat di sana.

Projek yang bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan RM588 juta itu adalah salah satu daripada dua bahagian di bawah Pakej Kerja 08, Jambatan Sungai Kua hingga Jambatan Sungai Arip.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan lebuh raya itu akan dapat disiapkan lebih awal sebelum ini sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghentikan pelaksanaannya sewaktu mentadbir negara selama 22 bulan.

“Keseluruhan laluan Lebuhraya Pan Borneo kini hampir siap tetapi sebenarnya jika PH tidak menghentikan pembinaannya semasa pentadbiran mereka, ia akan dapat disiapkan lebih awal,” katanya sewaktu berucap pada Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau dan Penyerahan Peranti Siswa, di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, beliau menggesa rakyat negeri itu agar dapat mengambil iktibar pengalaman sewaktu berada di bawah pentadbiran kerajaan PH dan dapat memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

“Kita di Sarawak, kita mesti menjaga Sarawak dan kita perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sewaktu berucap turut memaklumkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo itu merupakan bukti komitmen kerajaan pimpinan beliau dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang, sistematik dan cekap.

Katanya, selain pembinaan lebuh raya itu, terdapat dua lagi projek mega di utara negeri ini iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *