Azmin dakwa dirinya sengsara sepanjang berada di bawah payung PH

AMPANG: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam ini mendakwa dirinya sengsara sepanjang berada di bawah payung Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga calon PRU15 Gombak itu turut memberitahu beberapa kali menegur secara lisan dalam banyak mesyuarat termasuk dalam Kabinet.

Malah, beliau pernah menulis kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertindak sewajarnya terhadap menteri-menteri PH yang angkuh dan kerap kali bertindak mengguris hati bumiputera dan Melayu.

Mohamed Azmin dalam masa sama mendakwa tindakan PH menukar lapan ketua setiausaha dan menyekat bantuan yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu seperti bantuan modal perniagaan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

“Ini bukan gila, ini jahil! Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sudah ada peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk Teraju tetapi Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng menghentikan peruntukan tersebut. Musnah harapan peniaga-peniaga Melayu.

“Saya jumpa Guan Eng pada 14 September 2019, saya minta RM400 juta kepada Teraju kerana jumlah itu boleh bantu 10,00 bumiputera dan 200 syarikat sekurang-kurangnya tetapi dia kata no (tidak). Saya pun menulis kepada Dr. Mahathir minta tegur tindakan Menteri Kewangan itu kerana apa yang jadi hak jangan diremehkan.

“Malangnya ketika pembentangan Bajet yang sepatutnya Teraju menerima RM400 juta tetapi diberi kosong,” katanya ketika menyampikan ceramah sebagai tanda sokongan kepada calon Parlimen Ampang, Shasha Lyna Abdul Latiff di tapak pasar malam Ukay Perdana di sini.

Pada malam ini juga, Mohamed Azmin turut mendakwa Guan Eng menulis surat kepada Dr. Mahathir untuk menutup operasi Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) kerana mahu membawa duit daripada agensi berkenaan ke Kementerian Kewangan.

“Dr. Mahathir setuju. Saya terpaksa bergegas berbincang dengan Dr. Mahathir dan menanyakan mengapa tutup Ekuinas.

“Dr. Mahathir jawab, “ya ka? Oh baru saya tahu.

“Saya cakap kepada Dr. Mahathir “tolonglah, bagaimana saya mahu berdepan dengan orang Melayu dan bumiputera yang perlukan modal perniagaan?”

“Akhirnya beliau setuju dan minta Guan Eng tarik semula sehari sebelum pembentangan Bajet. Dapatlah saya selamatkan Ekunias. Jadi, perlukah saya duduk dalam PH lagi selepas apa yang mereka lakukan?,” ujarnya.-UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *