“Anwar makin terdesak tuduh tentera undi awal, dibayar”

PETALING JAYA: Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim anggota tentera terutama di Parlimen Bera, Pahang sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),dan dibayar untuk berbuat demikian, disifatkan sebagai terdesak.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dakwaan itu adalah antara kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik sepanjang tempoh berkempen PRU15.

Katanya, ini kerana Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaan itu, maka ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas mahupun bukti.

“Terdapat 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka yang layak mengundi. Anwar telah menghina dan mengelar mereka penerima rasuah. Menerima rasuah adalah suatu jenayah, apakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah?

“Anggota tentera menggadai nyawa mereka setiap hari untuk melindungi bumi Malaysia. Wira-wita ini sepatutnya dipuji dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.

“Adalah jelas bahawa Anwar Ibrahim semakin ‘terdesak’ kerana jelas PH kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal mempersoal sama ada dakwaan yang disifatkannya cerita dongeng mengenai rasuah pilihan raya itu dijadikan alasan bagi menuduh bahawa PRU15 ini tidak adil sekiranya PH kalah besar pada 19 November ini.

“Akhirnya, apakah Anwar Ibrahim bersedia menarik-balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?” soalnya.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar mendakwa, ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU15 kali ini mendapat bayaran.

Presiden PKR itu ketika berucap di majlis di Terengganu mendakwa, anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasatnya.

 

Kredit: Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *