PM persoal gangguan LRT dalam tempoh berkempen, mahu siasatan menyeluruh

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail yang berulang sekali lagi semasa beliau menjadi Perdana Menteri terutamanya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang tidak mahu mengulas sama ada terdapat unsur sabotaj bagaimanapun berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Ini kali kedua berlaku waktu saya jadi Perdana Menteri, ia merungsingkan saya, saya tak nak sebutlah (unsur sabotaj) cuma saya kata merunsingkan saya kenapa berlaku semasa sedang berkempen.

“Kita akan siasat bukan sahaja dari segi punca kerosakan tetapi secara menyeluruh kenapa perkara ini berlaku ketika kempen sedang berjalan,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Sebelum ini RapidKL mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Jaya yang melibatkan 16 stesen dihentikan selama tujuh hari mulai 9 November hingga 15 November selepas berdepan dengan gangguan sistem.

Menurut Ismail Sabri beliau telah mengarahkan agar siasatan dilakukan dengan terperinci dan perkara sama yang menyusahkan orang ramai ini tidak berulang pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu berlaku lagi sebab dalam masa bebearapa bulan sahaja perkara ini berlaku lagi, saya tidak mahu dalam beberapa bulan akan datang berlaku lagi kerana ianya sangat susahkan orang ramai,”katanya.

 

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *