Elak berbalas kenyataan, tumpu menang PRU15 – Ismail Sabri

BERA: Tindakan berbalas kenyataan dalam kalangan calon dan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak membawa kebaikan kepada parti itu dan usaha untuk menang kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, tumpuan utama perlu diberikan oleh semua calon dan pimpinan BN untuk menang  pilihan raya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, solidariti dalam BN perlu diutamakan untuk meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti.

“Saya harap tidak kira siapa dalam UMNO atau BN agar memberikan tumpuan untuk menang di kawasan yang ditandingi.

“Ini lebih penting untuk calon BN dapat menyumbang kerusi dan menjadi parti dominan dalam membentuk kerajaan.

“Apa yang penting kini adalah menguatkan parti dan menang pilihan raya adalah sasaran kita (BN),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang dilihat sering berbalas kenyataan khususnya berhubung isu pencalonan bekas Ahli Parlimen Rembau terbabit.

Khairy secara terbuka mengakui terpaksa mencari sendiri kerusi Parlimen yang akan ditandinginya selepas dia diminta mengosongkan kerusi Parlimen Rembau serta mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh.

Ahmad Zahid dalam responnya meminta Khairy menumpukan usaha memenangkan kerusi Sungai Buloh sambil mengakui bekas Ketua Pemuda UMNO itu sendiri yang meminta untuk bertanding di situ.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, rakyat sedang melihat dan menilai setiap tindak tanduk calon yang bertanding dan mungkin pelbagai spekulasi dan persepsi boleh dibuat.

 

Kredit: Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *