Biar pun bakal berdepan dengan banjir, Terengganu bersiap sedia untuk PRU15!

HULU TERENGGANU – Terengganu telah pun membuat persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh atau lebih tepatnya banjir terutama menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya bersama agensi-agensi yang terlibat bersedia sejak bulan Ogos lagi termasuk menjalani latihan, simulasi dan sebagainya.

“Agensi yang terlibat dengan persediaan banjir seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sendiri telah mengadakan latihan bersama masyarakat. Semua ini sebagai persiapan banjir.

“Sekarang ini pun saya boleh lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), untuk memantau kedudukan air sungai di negeri Terengganu ini samada sungai itu kritikal atau tidak dalam masa 24 jam,” katanya kepada pemberita ketika Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Kampung Buluh, di sini, pada petang Sabtu yang turut dihadiri calon PN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, serta isteri Samsuri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman.

Samsuri berkata, menerusi jawatankuasa gerakan banjir, mereka akan memantau setiap masa dan yakin dari segi persiapan akan lakukan yang terbaik jika berlakunya banjir.

“Lebih kurang 10 peratus di antara pusat pengundian yang berpotensi untuk dijadikan pusat penempatan banjir sudah dikenalpasti dan telah bersiap sedia walaupun sebenarnya, sebagaimana yang saya sebut sebelum ini tidak sesuai diadakan PRU pada musim begini kerana akan menyusahkan rakyat, tetapi dah berlaku (PRU15), kerajaan kena hadap lah,” katanya.

Berkenaan aset pula, Samsuri berkata, semuanya tersedia dan ada cara pengendalian tersendiri sekiranya berlaku banjir terutama di kawasan-kawasan kritikal dan beliau rasa itu adalah perkara yang telah dilihat di peringkat awal lagi oleh semua agensi dalam membuat persiapan masing-masing.

“Anggota Jabatan Amal juga sentiasa bersedia dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri Terengganu dan mereka ini hanya menunggu panggilan saja sekiranya perlu untuk berada di tempat-tempat tertentu, membantu masyarakat berpindah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya dan mereka bersedia 24 jam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Samsuri menasihati orang ramai supaya sentiasa patuh dengan arahan pihak berkuasa seperti sebelum-sebelum ini dan setiap ketua keluarga perlu memainkan peranan memastikan arahan dipatuhi demi nyawa bersama.

“Kita mendapat gambaran dan seperti yang dijangkakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa pada minggu ketiga iaitu minggu pengundian nanti hujan meningkat kepada 90 peratus pada waktu pagi, petang dan malam.

“Tetapi bila ramalan ni, ia masih ramalan tapi saya percaya masyarakat samada pengundi atau bukan pengundi, mereka ini akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *