PRU15: Jangan alpa dengan COVID-19 semasa berkempen – PM

BERA, 11 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera dan calon semua parti untuk berhati-hati serta tidak alpa dengan amalan pencegahan penularan COVID-19 sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, namun semua pihak digalakkan memakai pelitup muka ketika berkempen khususnya di tempat sesak bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

“…dalam berkempen, jangan lupa COVID-19 masih berada di sekitar kita. Kita tak tahu siapa yang sedang dijangkiti dalam kalangan kita semua. Saya berharap kita berhati-hati… sanitasikan (tangan) seperti zaman kita (berada) dalam COVID-19 dulu sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas program Moh Ngeteh bersama konuniti Orang Asli di Kampung Bongkok di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata kementeriannya akan memantau peningkatan kes COVID-19 sepanjang tempoh berkempen PRU15, selain prosedur operasi standard (SOP) pengundi yang positif, telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 15 Nov ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

 

Kredit : Bernama

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *