Manifesto: Antara Retorik dan “Political Will’

Satu minggu yang lepas, Pakatan Harapan telah meluncurkan manifestonya melalui “Buku Harapan” yang menggariskan beberapa inisiatif dan janji yang dilihat lebih “selamat”, barangkali mengambil iktibar dari peristiwa PRU lepas.

Gagasan baru Perikatan Nasional yang menjual imej sebagai pilihan yang “terbersih” untuk rakyat pula mengumumkan manifestonya yang jika diimbas sekali lalu, tidak ada yang istimewa selain hanya menambahbaik dari apa yang telah dibentangkan dalam Bajet 2023.

Zahid Hamidi, di sebalik kontroversi dan calitan skandal yang pelbagai ini pula meletakkan Barisan Nasional kembali jadi tumpuan utama dengan pelbagai tawaran yang lebih seksi dan mengiurkan jika dibandingkan dengan manifesto dari gabungan parti politik lain yang bertanding untuk PRU kali ini.

Menjadi satu kelaziman untuk politikus menabur janji, dan hampir pasti umum kebanyakan sudah hadam dengan hal ini, tapi perlu diingat, PRU-15 kali ini adalah PRU yang paling unik, kompleks dan sarat risiko bagi mana-mana parti sekalipun. Dinamika politik, polarisasi kaum dan sentimen di peringkat lokal serta global memberi visi yang kelabu terutama kepada pengundi kali pertama dan pengundi atas pagar.

Tulisan ini sama sekali tidak layak dijadikan panduan atau “kitab pemula memilih wakil rakyat”, tapi sedikit sebanyak dapat membuka satu jendela gaya fikir alternatif terutamanya pengundi baru yang masih tercari-cari arah dalam menghidupkan kehidupan mereka.

Jiwa Hamba Dalam Wilayah yang Merdeka

Perlu disemat dan difahami, Kerajaan, wakil rakyat atau ahli parlimen bukanlah entiti yang WAJIB turun ke rumah asnaf beri beras, tepung dan telur; tinjau longkang tersumbat. Jika ini indikator yang ditetapkan dalam memilih calon, penulis kira kita masih jauh dalam memeluk dan mencium nikmat sebagai bangsa yang berjaya. Selamanya kita berjiwa feudal dalam wilayah yang merdeka.

Pemimpin yang dipilih melalui sistem demokrasi ini berperanan dalam merangka dasar dan polisi bagi menjamin dan membela kebajikan rakyat sekaligus menggerakkan mobiliti sosial melalui pendidikan dan peluang pekerjaan.

Jika kita masih didoktrin dengan perlunya pemimpin berjiwa lokal yang sering turun kawasan melihat longkang tersumbat sebagai tanda aras memilih pemimpin, fungsi dan peranan utama pemimpin yang dipilih akan terganggu. Dan dari sinilah berlakunya krisis integriti, rasuah dan sewaktu dengannya.

Idealis dalam dunia yang realis

Harus difahami juga, meskipun sistem pemilihan Kerajaan dalam negara ini bersendikan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, corak dan adunan yang diamalkan secara tradisi (Perlembagaan tidak bertulis) juga menjadi sebahagian dari tatakelola pentadbiran.

Kita berkiblatkan demokrasi namun dengan mazhab yang tersendiri. Pengaruh globalis yang mempengaruhi budaya konsumerisme dalam masyarakat sedikit sebanyak membuka satu dimensi baharu kefahaman politik kepada anak muda yang melihat perbatasan dan sempadan adalah satu hal yang menyekat perkembangan serta kemajuan sesuatu bangsa.

Kita mahukan pemimpin yang bukan sahaja mampu memberi optik yang baik kepada penduduk setempat dan nasional, yang mustahak adalah mampu berfikir dalam merangka, membahas, dan membawakan pembaharuan seterusnya memberi nilai tambah kepada rakyat.

Selamat berfikir dan mengundi.

Oleh A. Muqaddam

 

 

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *