Saya ‘bayangan’ Tok Pa di Jeli-Zahari

JELI: Calon Pas Parlimen Jeli, Zahari Kechik memberi gambaran beliau adalah ‘bayangan’ kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas tokoh berkenaan membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Zahari mengakui bukan tugas mudah buat dirinya untuk memenangi kerusi berkenaan selepas Tok Pa yang bertanding pada PRU14 lalu menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 6,647.

Menurutnya, bagaimanapun beliau lega apabila Tok Pa bukan sahaja memberi restu, malah turut sama turun padang berkempen bersama-samanya.

“Fokus saya ialah untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Tok Pa sebelum ini mencakupi pendidikan, agama dan pembangunan bagi memastikan rakyat di Parlimen ini terus mendapat manfaat pada penggal akan datang.

“Ini adalah amanah Tok Pa kepada saya. Hasrat ini mampu direalisasikan jika saya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parlimen,” katanya semasa turun padang menyantuni pemandu kereta sewa di sini hari ini.

Zahari memberitahu, jika diberi mandat, dia akan membawa membuat penambahbaikan dari sudut ekonomi mikro di kawasan Jeli memandangkan Tok Pa sudah melaksanakan pembangunan ekonomi menerusi projek-projek berskala besar.

Katanya, pembangunan itu melibatkan anak muda, penjaja kecil, pemandu kereta sewa, penoreh getah, pekebun dan penduduk kampung.

“Penekanan dari sudut ekonomi mikro bagi memastikan semua golongan menerima limpahan dan manfaat secara bersama. Rakyat Jeli masih lagi haus dengan pembangunan dan pembelaan yang dibawa oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu.

“Saya optimis rakyat akan memberikan sokongan kerana Tok Pa merupakan jenama yang sangat dekat di hati. Rakyat di Jeli bijak membuat pilihan dan pastinya mereka akan menyokong individu yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan ini,” ujarnya.

Pada PRU15, Zahari akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu Gabungan  Tanah Air (Dr. Muhammad Daud), Barisan Nasional (Norwahida Patuan) dan Pakatan Harapan (Md.Radzi Wahab).

PRU14 lalu, Tok Pa yang menggunakan tiket Barisan Nasional menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR.

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *