PERKESO anjur Pertandingan Debat Malaya untuk pupuk kesedaran dalam generasi muda

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus komited dalam meneruskan inisiatif meningkatkan kesedaran perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia dengan menyasarkan generasi muda.

Dalam usaha memupuk kesedaran golongan muda mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, PERKESO melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dengan menaja Pertandingan Debat Malaya bersama PERKESO 2022 (DMbp 2022).

Dianjurkan Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) bersama PERKESO sebagai penaja utama, DMbP 2022 ini bermula pada 4 November dan pusingan akhir berlangsung Sabtu ini, 12 November di Kompleks Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya (UM).

Menariknya, pusingan ini bakal menyaksikan pendebat terbaik DMbP 2022 menjadi Duta Muda PERKESO yang akan berperanan menjadi jurucakap bagi inisiatif dan produk PERKESO.

Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pertandingan ini dapat mendekatkan jenama PERKESO dengan golongan belia dan meningkatkan pemahaman mengenai perlindungan keselamatan sosial.

“Adalah penting untuk golongan muda mempelajari mengenai keselamatan sosial sebelum mereka menyertai tenaga kerja.

“Kita mahu memastikan belia dibekalkan dengan pengetahuan yang mencukupi untuk diintegrasikan ke dalam pasaran buruh dengan memahami manfaat keselamatan sosial kepada individu, keluarga dan negara,” katanya.

Program Debat Malaya 2022 juga antara usaha PERKESO mengasah bakat dan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan golongan muda.

Ia juga bertujuan menggalakkan pembabitan aktif dalam kalangan belia mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial.

Edisi pertandingan tahun ini memberi tumpuan kepada topik berkaitan kepentingan keselamatan sosial di mana 40 pasukan generasi muda dari pelbagai institusi, universiti, kolej, dan sekolah berprestij di seluruh Malaysia menyahut cabaran membahaskan topik seperti pelaksanaan mandatori Maternity Benefit di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan cadangan skim perlindungan sosial sebagai subjek wajib lulus Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia.

Pusingan separuh akhir DMbP 2022 akan menyaksikan perdebatan sengit antara dua pasukan dari Universiti Malaya dan juga pasukan antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO Izad Hj Raya berharap program ini dapat melahirkan lebih ramai golongan pelajar yang berkeyakinan tinggi terutama dari aspek komunikasi di khalayak ramai.

“Kami yakin DMbP 2022 dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan cemerlang.

“Program dengan kerjasama MORUM dan PERKESO diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai pelbagai isu berkaitan jaringan keselamatan sosial melalui perbahasan intelektual sepanjang pertandingan ini,” katanya.

Tahun ini, DMbP 2022 diadakan secara hibrid di mana pusingan awal serta suku akhir dijalankan secara dalam talian.

Manakala pusingan separuh akhir dan akhir dijalankan secara fizikal di Universiti Malaya dengan mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu.

Rakyat Malaysia dijemput menyaksikan pusingan akhir DMbP 2022 pada Sabtu ini, 12 November di Kompleks Auditorium Perdanasiswa, UM jam 2.30 petang atau boleh menonton secara langsung di https://www.facebook.com/PERKESO.Official atau melayari https://www.youtube.com/channel/UCmrbQ8FGc4pmKP-ADDPswjQ/
streams

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *