Calon BN DUN Hulu Kinta terima ugutan, dituntut bayar RM300,000!

IPOH – Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta tampil membuat laporan polis selepas menerima ugutan daripada nombor telefon individu tidak dikenali pada Khamis.

Ugutan terhadap Datuk Mazlan Abdul Rahman itu diterima ketika beliau sedang berkempen yang menuntut bayaran RM300,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan laporan, sekiranya calon berkenaan gagal membayar wang itu, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular di media sosial.

“Laporan telah kita terima dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, setakat Khamis, sebanyak 59 laporan polis telah diterima dengan enam kertas siasatan dibuka berhubung kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, dalam tempoh sama, 290 permohonan permit mengadakan ceramah telah diterima, namun hanya 281 dibenarkan sementara sembilan lagi tidak diluluskan.

“Kita ingatkan kepada ahli politik yang berkempen agar tidak sesekali melakukan perbuatan pemerasan dan ugutan kepada pihak lawan.

“Kesalahan seumpama itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau sebatan,” jelasnya.

Mohd Yusri turut memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak sesekali menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sepanjang tempoh kempen ini.

“Dalam usaha mengekang penyebaran berita tidak sahih menggunakan komunikasi elektronik, peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan,” katanya.

Pada PRU15 ini, kerusi DUN Hulu Kinta menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Selain Mazlan, kerusi itu turut ditandingi penyandang, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Pakatan Harapan), Puteri Holijah Muhamad Rali (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, S Murugiah.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *