Banjir : Perdana Menteri arah semua agensi bantu Keluarga Malaysia

KOTA BHARU : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Dalam masa sama, Ismail Sabri turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam.

“Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya,” katanya dalam catatan di status Facebooknya.

Seterusnya Ismail Sabri menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan.

“Sentiasa peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *