BN mampu kuasai lebih 112 kerusi Parlimen dalam PRU15 – Ismail Sabri

BERA – Barisan Nasional (BN) yakin mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata, berdasarkan maklumat terkini kempen PRU15 yang dibentangkan pada mesyuarat ‘Top Five’ parti itu di Kuala Lumpur pada Khamis, perkembangan penerimaan pengundi terhadap BN yang diterima beliau amat positif.

‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ismail Sabri berkata, walaupun BN boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi, namun beliau percaya ia tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan sebaliknya bersama dengan rakan BN dari Sabah dan Sarawak supaya lebih stabil.

“Kita memerlukan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlukan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk bersama kita dan mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan yang dibentuk pada masa akan datang.

“Walaupun 112 (kerusi Parlimen) sudah boleh membentuk kerajaan kerana tidak boleh lagi berlaku lompat parti tetapi kita mahu kerajaan yang lebih kuat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor di sini pada Khamis. – Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *