Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia dibayar 15 November

Bera: Kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November depan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Menurutnya, bayaran secara berperingkat dijangka akan selesai pada 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan lanjut ketika banjir.

“Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember depan kepada November ini adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi MTL yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

“Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai, Datuk Sabariah Saidan.

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Katanya, semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

 

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *