Anak muda Undi18 perlu diberi bimbingan tentang ilmu politik – Fazril Saleh

SHAH ALAM: Golongan pemilih baharu atau anak muda Undi18 perlu diberi bimbingan sepenuhnya tentang ilmu politik supaya kumpulan pengundi pertama kali ini tidak tersalah pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata, kumpulan belia Undi18 adalah anak muda yang baharu hendak mengenal dunia politik dan sewajarnya mereka diberi bimbingan serta maklumat tepat.

Menurutnya, mereka perlu diberi pendidikan dan bimbingan untuk mengetahui senario sebenar sebelum terjun sepenuhnya dalam dunia politik kerana kumpulan ini boleh diibaratkan ‘zero’ tentang dunia politik negara.

Malah katanya, pendaftaran pemilih kumpulan tersebut juga dilakukan secara automatik, bukan daripada kehendak sebenar individu itu untuk terlibat secara langsung dengan politik.

“Apabila ditanya dan dibuat pemerhatian serta kajian oleh badan-badan bebas, dapatan menunjukkan ada kalangan anak muda ini tidak sedar yang mereka sudah ada dalam daftar pemilih kerana ia dibuat secara automatik.

“Ini satu permasalahan kerana mereka sememangnya tidak sedar dan tidak berminat pun tentang politik, namun kali ini mereka perlu memilih pada PRU15.

“Oleh sebab itu, mereka ini perlu diberi bimbingan dan maklumat tepat tentang senario politik negara. Oleh sebab itu, ABIM menggerakkan satu inisiatif baharu bagi mendekati golongan Undi18 dengan melancarkan MyUndi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Peringatan Kepada Pengundi’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu yang dihoskan Asmaliza Mansor.

Mengulas lanjut, Fazril berkata, MyUndi adalah satu platform pendidikan demokrasi dan kewarganegaraan yang mahu diberikan penumpuan kepada anak muda terutama mereka yang berada dalam kelompok Undi18.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan golongan sasaran itu mendapat maklumat dan situasi tepat tentang politik negara.

Tambahnya, inisiatif baharu MyUndi ABIM itu dilihat berupaya menangani permasalahan terkini berkaitan kekeliruan memilih melibatkan Undi18 dan pendaftaran pemilih calon baharu secara automatik.

“Kerajaan sewajarnya memainkan peranan yang betul dan bersungguh-sungguh untuk mendidik anak muda tentang politik, jangan sesekali bertindak sambil lewa dalam konteks Undi18.

“Kerajaan juga perlu menyampaikan maklumat kepada mereka yang telah didaftarkan secara automatik dan bukannya pihak lain melakukan tugas penting itu,” ujarnya.

Ini kerana jelasnya, pihak luar tidak mempunyai kelengkapan di dalam perkara tersebut, selain tiada data dan tiada keupayaan untuk melaksanakannya dengan sempurna.

“Keupayaan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mungkin sekadar memberi kesedaran atau mencari individu berusia 18 tahun ke atas bagi disantuni sebaiknya untuk menerangkan tentang politik negara.

“Namun segala maklumat dan data yang lebih tepat perlu disampaikan oleh pihak kerajaan kepada golongan terbabit,” tegasnya. -Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *