Tiga pemimpin utama Johor sokong Ismail Sabri PM ke-10

BATU PAHAT: Tiga pemimpin utama Johor menyatakan so­kongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  sebagai Perdana Menteri ke-10 sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan sokongan itu tidak berubah.

Menurut beliau, sokongan adalah sebagai tanda keperca­yaan parti bahawa Ismail Sabri mampu menggerakkan negara ke mercu kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

“Sebelum ini, apabila Majlis Tertinggi UMNO mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, MCA sokong cadangan itu.

“Datuk Seri Ismail Sabri bukan hanya menjadi Perdana Menteri yang ke-9 malah, beliau akan terus diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10 nanti,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam, di sini semalam.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor turut menyatakan bahawa seluruh kepimpinan UMNO bahagian di negeri ini terus menyokong tanpa berbelah bahagi kepada Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Katanya, sokongan itu di­nyatakan dalam Persidangan UMNO Bahagian masing-ma­sing sebelum ini.

Onn Hafiz pula senada dengan dua pemimpin senior itu turut menyatakan sokongan padu kepada Ismail Sabri sebagai calon PM ke-10.

Malah, kata Onn Hafiz, Ismail Sabri telah menyalurkan pelbagai peruntukan kepada Johor semasa beliau menerajui negara.

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *