Naratif Keluarga Malaysia kukuh ekonomi, bantu rakyat

Kuala Lumpur: Pelbagai usaha menyeluruh dilaksanakan menerusi konsep Keluarga Malaysia dari segi ekonomi dengan pengukur asasnya menggunakan konsep kebahagiaan untuk menilai kemajuan dalam pembangunan berdasarkan elemen keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata di bawah konsep Keluarga Malaysia, krisis kesihatan dapat dikawal, selain ketidaktentuan politik dapat dikurangkan jika dibandingkan era kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, inisiatif digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menyaksikan beberapa keputusan dan perancangan tepat dilaksanakan, selain memberi impak positif kepada rakyat serta ekonomi secara keseluruhan baik secara langsung atau sebaliknya.

“Ini antara lain melalui pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dasar Agromakanan Negara 2.0, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional, Digital Malaysia, Bajet 2023 dan mengkaji semula projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).

“Selain itu, di bawah konsep Keluarga Malaysia, kita menyaksikan pembukaan Menara Merdeka 118, ikhtiar khusus untuk membasmi kemiskinan tegar, komited terhadap peningkatan dalam akses dan kualiti pendidikan, serta komitmen terhadap isu alam sekitar, seperti pelaksanaan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan juga usaha untuk mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG) 2030.

“Kita juga melihat pengukuhan ekonomi bertambah baik bermula pembukaan sempadan negeri pada Oktober 2021 sehinggalah pembukaan sepenuhnya sempadan negara bermula pada April lalu.

“Aktiviti sosial dan ekonomi semakin rancak dengan momentum pertumbuhan ekonomi terus meningkat sehingga mencatat kadar 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini. Ekonomi kita juga dijangka bertumbuh lebih baik melebihi 10 peratus pada suku ketiga tahun ini,” katanya kepada BH.

Mengulas inisiatif Keluarga Malaysia paling dominan, Irwan Shah berkata, terdapat sokongan disalurkan kerajaan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di mana pemberian tunai secara langsung itu ditambah baik dan menjadi lebih mantap menerusi agihan bantuan secara berterusan dan secara yang lebih besar skopnya.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah. Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan bawah RM2,500 dengan anak lebih lima orang mendapat bantuan RM2,500.

Cipta peluang pekerjaan

“Inisiatif Jamin Kerja dan Semarak Niaga begitu memberikan kesan kepada rakyat untuk membina kembali kehidupan mereka pasca pandemik dengan mencipta peluang pekerjaan dan juga peluang perniagaan.

“Namun, sebenarnya, apa yang Ismail Sabri tidak lakukan juga banyak membantu rakyat dan ekonomi negara, seperti tidak melaksanakan sekatan pergerakan atau lockdown, tidak menambat ringgit dan tidak melakukan dasar austerity atau berjimat cermat dalam pengurusan dasar fiskal negara.

“Tindakan untuk membubarkan Parlimen juga satu langkah tepat untuk mengembalikan mandat rakyat dan untuk mendapatkan kerajaan lebih stabil dalam persediaan mendepani cabaran ekonomi global tahun hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelancaran Rangka Tindakan Keusahawan Sosial 2030 juga satu keputusan strategik yang dapat memberikan kesan langsung kepada rakyat melalui meningkatkan kapasiti rakyat dalam konteks keusahawanan.

“Dari segi mengawal inflasi dan kos sara hidup, peningkatan dalam kadar gaji minimum, peningkatan gaji penjawat awam, kedai jualan murah, penghapusan permit import (AP) juga adalah beberapa inisiatif dominan yang memberikan kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

KDNK memberangsangkan

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata konsep Keluarga Malaysia memantapkan lagi usaha dalam memacu semula ekonomi melalui pembabitan semua pihak atas semangat kekeluargaan.

Katanya, impak naratif digagaskan Perdana Menteri mengukuhkan ekonomi negara dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan dengan jangkaan 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini.

“Kita dapat lihat kadar pengangguran makin menurun ke 3.5 peratus dan Indeks pengeluar masih menunjukkan pertumbuhan positif dua angka. Walaupun kadar inflasi semakin meningkat dan ringgit masih melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), inflasi di Malaysia antara yang terendah di Asia Tenggara dan ringgit masih lagi kukuh berbanding matawang asing yang lain.

“Justeru, inisiatif dilaksanakan di bawah Keluarga Malaysia wajar diteruskan dan mungkin perlu ditambah baik dengan penggunaan teknologi supaya ia lebih berkesan dan tidak disalah guna atau berlaku ketirisan serta pembaziran.

“Saya melihat kerajaan sedia ada mempunyai potensi untuk meneruskan pemulihan. Tetapi kita berharap pemimpin yang akan dipilih nanti akan meneruskan usaha pemulihan ini,” katanya.

Prihatin bantu rakyat

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata, banyak insentif terutama program Bantuan keluarga Malaysia (BKM) menyuntik tunai ke dalam ekonomi domestik, manakala program subsidi sehingga RM77 bilion menunjukkan keprihatinan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dalam membantu rakyat.

Katanya, sebagai contoh, inisiatif subsidi untuk semua rakyat tanpa mengira pendapatan dan jenis perniagaan adalah terbaik kerana ia melindungi rakyat dari kenaikan kadar inflasi yang sebenar mungkin mencecah 11 peratus tanpa sokongan berkenaan.

“Inisiatif ini boleh diperbaiki dengan subsidi bersasar untuk mengelakkan pembaziran sama ada dari aspek penyalahgunaan dan penyeludupan.

“Dari aspek pemulihan negara, ia masih boleh diperbaiki dengan memberi perhatian kepada peningkatan kadar faedah yang mula menekan rakyat.

“Namun, negara mesti mempunyai kekuatan politik dengan kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan baharu untuk memperbetulkan struktur ekonomi negara yang kini berada dalam situasi yang memerlukan perubahan.

“Antaranya ekonomi digital, pengurangan tenaga kerja asing, teknologi nilai tinggi yang membolehkan tenaga kerja Malaysia meraih pendapatan jauh lebih tinggi seperti negara maju,” katanya.

Kredit: Berita Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *