Gua Keris saksi penemuan barang pengebumian masyarakat pra sejarah

KUALA KRAI: Beberapa artifak berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun yang dipercayai digunakan pada zaman neolitik ditemukan di Gua Keris, Dabong, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof Datuk Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan itu melibatkan serpihan seramik berupa tembikar ditemukan di permukaan tanah dalam kawasan gua berkenaan.

“Bagaimanapun, penyelidikan lebih saintifik perlu dilakukan bagi membolehkan artifak lain yang masih belum diganggu ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Daerah Dabong (MDD) di sini hari ini.

Mokhtar memberitahu, bahan artifak itu ditemukan sepasukan pegawai Jawatankuasa Pelaksana Geopark ketika membuat penilaian Stong Geopark membabitkan tiga gua di Dabong iaitu Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan.

Katanya, selain tembikar, cengkerang siput sedut turut ditemukan pengkaji yang merupakan bahan makanan dan juga barang pengebumian masyarakat pra sejarah.

“Kita akan membawa keluar beberapa sampel sahaja untuk diserahkan kepada MDD untuk tindakan lanjut dan masih banyak cengkerang siput sedut itu serta pecahan tembikar berada di lokasi berkenaan,” ujarnya.

Mokhtar berkata, untuk kajian lebih lanjut, pihak MDD boleh membuat permohonan kepada Jabatan Warisan Negara supaya melakukan kajian di lokasi berkenaan.

“Sekiranya pihak kami dibenarkan melakukan kajian, bahan ini akan dihantar ke makmal pentarikhan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *