Dua kereta rosak dihempap tanah runtuh di Taman Pinggiran Pedas

REMBAU: Dua buah kereta rosak dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Lorong 12, Taman Pinggiran Pedas, di sini, malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd. Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.45 malam dan pasukannya bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba didapati terdapat tanah runtuh akibat dari hujan lebat melibatkan kereta jenis Proton Waja dan juga Proton Saga FLX. Kejadian ini juga turut merosakkan pagar rumah penduduk,” katanya.

Sementara itu, pemilik kereta Proton Waja, Mohd. Aidil Kamsani, 45, berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 7.15 petang ketika dia bersama beberapa rakan berada di bawah pondok di hadapan rumah.

“Selepas itu saya terdengar bunyi batu seperti dibaling dari atas atap. Saya fikir mungkin jiran bergurau sebab biasanya. Namun saya tidak senang hati dan tertanya-tanya sama ada itu bunyi batu atau pergerakan tanah.

“Ketika itu juga hujan lebat. Saya suruh rakan keluar dari pondok dan masuk ke rumah untuk mengambil kunci kereta, tidak sempat keluar, kereta saya sudah dihempap tanah runtuh dan rosak,” katanya.

Difahamkan, kejadian tanah runtuh itu merupakan pertama kali berlaku di taman perumahan itu. –UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *