BN perlu kekal pilih Ismail Sabri sebagai PM

KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) perlu kekal berpendirian menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan ketika Perhimpunan Agung UMNO itu perlu terus dihormati dan hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

”Jika BN memperoleh kerusi Parlimen mencukupi untuk menubuhkan kerajaan, tiada calon kedua daripada UMNO selain Ismail Sabri.

“Kita hanya menamakan seorang calon tunggal setakat ini dan tiada yang lain,” katanya ketika ditemui pada Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Felda Bukit Cherakah di sini, hari ini.

Tegas bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, mana-mana nama daripada UMNO yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri mesti ditolak selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung.

“Semua kepimpinan dan jentera kita perlu bersatu hati serta bersolidariti dalam perkara itu. Hanya Perhimpunan Agong UMNO boleh mengubah keputusan parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar ketika berucap berkata, Ismail Sabri disifatkan sebagai pemimpin yang mampu menstabilkan dan menyelesaikan masalah negara.

“Jangan ubah-ubah (calon Perdana Menteri) dan ia bukan masa hendak ‘melawak beruk’ (mempersenda) dan tidak dibuat main-main. Kita akan mendukung keputusan menamakan Ismail Sabri selaku calon Perdana Menteri,” katanya sambil menambah, soal memilih calon pemimpin utama negara bukan boleh dipilih sewenang-wenangnya.

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *