Tawaran Padu realistik, mampu dilaksana

KEMAMAN: Tawaran Barisan Nasional (BN) dalam Perancangan, Amal dan Usaha Barisan Nasional (Padu) yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam manifestoPilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya diberi mandat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, BN mengemukakan manifesto tersebut berdasarkan kemampuan dan pengalaman mentadbir negara selama 60 tahun.

“Kita buat manifesto atas kemampuan BN, bukan berjanji bulan dan bintang tetapi setiap kali BN berjanji kepada rakyat, BN akan tunaikan.

“Tidak seperti pembangkang yang hanya tahu memberi ‘gula-gula’ dan akhirnya rakyat dikencing (ditipu). Kita umumkan manifesto berdasarkan kemampuan dan rekod kita yang mentadbir negara sebelum ini dan kita mampu laksanakan manifesto itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyantuni masyarakat Cina di Kampung Cina, Air Jernih, Kemasik, di sini, hari ini.

Padu mengariskan 99 usaha menjadi panduan dalam mengemudi tanah air  menjadi negara berkemajuan tinggi.

Ahmad yang juga calon Parlimen Kemaman berkata, beliau berharap rakyat Terengganu akan memberi mandat kepada BN untuk menang di lapan kerusi parlimen di negeri itu supaya lebih banyak pembangunan dapat dilakukan.

“Sekiranya BN menang di negeri ini dan di peringkat pusat, sudah pastinya banyak projek berskala besar akan dilakukan yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau akan kembali berusaha membawa masuk kembali beberapa syarikat pelabur asing untuk melakukan projek yang telah dirancang di Kemaman sebelum ini bagi membuka peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Sebelum ini, tiga syarikat besi mahu melabur di sini, bila saya dah tak jadi menteri besar, hanya satu sahaja yang masuk, begitu juga di Tasik Kenyir. Banyak peluang yang kita rugi. Insya-Allah sekiranya diberi mandat, kita akan usahakan balik tarik semula pelabur ini,” katanya.

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *