Pembangkang cukup-cukuplah, calon PM jelas Ismail Sabri

KANGAR : Pembangkang perlu berhenti bermain isu calon Perdana Menteri memandangkan Barisan Nasional (BN) jelas sudah menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon BN Parlimen Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegaskan, pembangkang berhentilah berbicara soal parti lain sebaliknya fokus kepada permasalahan mereka sendiri yang perlu dijelaskan kepada rakyat khususnya berkaitan janji-janji yang tidak ditunai.

Soal Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, bagaimana kalau mereka pula bermain naratif satu undi untuk Pakatan Harapan (PH) satu undi untuk DAP ?.

“Saya tekankan berulang kali keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Perhimpunan Agung UMNO dan usul-usul bahagian dan negeri jelas menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO bahawa nama yang akan dibawa kepada Yang Dipertuan Agong sebagai calon Perdana Menteri adalah Ismail Sabri.

“Sekiranya BN menang (PRU15) satu nama sahaja (calon Perdana Menteri) iaitu Ismail Sabri dan Presiden UMNO juga telah mengumumkan perkara tersebut,” katanya.

Sebelum ini kempen pihak lawan cuba melaga-lagakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Ismail Sabri apabila berterusan memainkan isu Pengerusi BN itu akan mengetepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15.

Naratif yang dimainkan pembangkang itu jelas tidak berasas malah semalam Ahmad Zahid terus mengulangi pendirian Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Menurut Ahmad Zahid, ketika ini pun beliau tidak menjadi Perdana Menteri atau menyandang apa- apa jawatan dalam kerajaan walaupun menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Tiada isu beliau (Ismail Sabri) bukan calon PM (Perdana Menteri) (jika BN menang). Kita lihat poster beliau (Ismail Sabri) ada di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat semalam.

Tambah Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, pembangkang berhentilah bermain isu ini memandangkan gabungan itu mempunyai banyak lagi masalah.

“Janji-janji kepada rakyat yang tidak ditunaikan dan sekarang datang lagi dengan manifesto baharu,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *