Jika BN menang, pelajar boleh belajar Bahasa Cina, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun di semua sekolah

PETALING JAYA: Para pelajar selepas ini berpeluang untuk mempelajari Bahasa Cina, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun di semua sekolah jika BN menang dalam PRU15 yang akan  berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi menjadikan sekolah kebangsaan (SK) sebagai medan menyubur keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama lain.

Katanya, BN mahu menjadikan sekolah sebagai tempat memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran baharu seperti pengkodan atau coding dan kreativiti sebagai langkah menjadikan SK sebagai sekolah pilihan untuk pendidikan semua.

“Yang pasti, sekolah akan dijadikan medan paling ampuh untuk memupuk kesedaran kemajmukan dan perpaduan,” katanya dalam pengumuman Manifesto BN atau Padu hari ini.

Tegas beliau, BN tidak mahu sesiapa pun tertinggal, tercicir dan terpisah kerana sedar dalam fabrik sosial masyarakat Malaysia yang kaya dengan latar belakangnya di samping mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian adalah satu-satunya jalan mengekalkan keharmonian dan nilai muhibah antara kita.

“BN percaya dan yakin bahawa formula untuk Malaysia yang stabil dan sejahtera ialah pembangunan yang terangkum. Untuk itu, BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai medan menyubur keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, BN berhasrat menawarkan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan untuk memastikan para majikan mengambil pekerja daripada pelbagai bangsa, gender dan latar belakang.

Katanya, BN berjanji menubuhkan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal Anti Gangguan Seksual bagi menghapuskan isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layan kerana perbezaan gender. – UTUSAN

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *