BN Pahang yakin dapat rampas hingga 33 kerusi DUN pada PRU15

MARAN: Barisan Nasional (BN) Pahang yakin dapat merampas 30 hingga 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keyakinan itu bersandarkan rekod pencapaian BN dalam usaha membangunkan negeri sepanjang pentadbiran 54 bulan.

Katanya, calon yang ditampilkan BN dalam PRU15 sememangnya sudah ditapis dan diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mandat diberikan.

Beliau berkata, BN akan meneruskan kecemerlangan dan membawa pembangunan lebih baik kepada rakyat.

“Calon memainkan peranan (untuk menang) dan kita lihat banyak sudut sebelum buat keputusan memilih calon.

“Saya dan ‘top 5’ (pemimpin tertinggi UMNO) berbincang dan semua calon ditampilkan mempunyai kriteria boleh menang,” katanya pada sidang media selepas Program Program Santai Anak Muda Parlimen Maran, di Chenor, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut mengingatkan jentera BN Pahang agar terus bekerja kuat dan tidak terus berasa selesa kerana dinamik politik kini sudah berbeza.

“Dari segi analisis saya, BN dapat mengekalkan pentadbiran di Pahang pada 19 November depan.

“Jangan terlalu yakin dan kena anggap selagi belum menang kita perlu kerja keras sebab tidak mahu duduk dalam zon selesa,” katanya.

Kredit: Berita Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *