PRU-15: Abdul Hadi puji Ismail Sabri dan Muhyiddin

Kota Bharu: Pas menyifatkan pentadbiran yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan yang bersih.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pimpinan kedua-dua Perdana Menteri itu tidak ada salah laku.

“Pimpinan Ismail Sabri dan Muhyiddin adalah kerajaan yang bersih dan tidak ada salah laku. Sebaliknya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah terdapat banyak ‘kebocoran’ yang berlaku.

“Yang pertama, kita sedar Datuk Seri Ismail Sabri adalah PM yang didominasi oleh PN.

Ini kerana, banyak (pemimpin) dulu dalam Kabinet adalah daripada parti Pas, Bersatu, parti Sabah dan Sarawak, bukannya Umno saja.

“Begitu juga ketika pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang juga baik,” katanya pada sidang media di Program Perjumpaan Al-Mala’/ Tokoh Masyarakat di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengarah Pilihan Raya PN Kelantan, Zulkifli Mamat.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden PN berkata, kesemua PM adalah terbaik dan Pas mendokong semua kepimpinan mereka.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, bagi mendapatkan sokongan bukan Islam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, Pas mempunyai Cabang Dewan Himpunan Penyokong, begitu juga Bersatu yang turut ada cabangnya.

“Kita juga ada parti komponen iaitu Parti Gerakan dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang ikut serta berkempen.

“Yang penting ialah tiga kerajaan negeri yang kita perintah iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah masih didominasi oleh kita,” katanya.

 

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *