Jangan kelirukan pengundi, Ismail Sabri kekal calon PM

 

PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan jangan kelirukan pengundi dengan memainkan isu pelantikan semula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, UMNO sudah membuat ketetapan awal yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri.

“Dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menetapkan bahawa parti setuju sebulat suara untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri sekiranya BN menang pada PRU15.

“Saya fikir keputusan itu telah dibawa pula menjadi sebahagian daripada usul-usul dalam persidangan UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 Koperasi Pekerja-Pekerja Gula Padang Terap Berhad di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, keputusan itu juga disokong 156 Bahagian UMNO seluruh negara yang bermesyuarat sebelum ini yang menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.

Mahdzir berkata, pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mencampuri urusan pelantikan Perdana Menteri dan tidak mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.

“Pembangkang terutamanya PH yang selalu sebut perkara ini (pelantikan Perdana Menteri) tidak perlu mengadu domba urusan BN, jangan bagi keliru pengundi kerana BN sudah ada keputusan.

“Keputusannya adalah seperti yang saya sebutkan tadi (bahawa Ismail Sabri dilantik semula), Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO juga jelaskan dan bersetuju Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri,” katanya.

Pembangkang dalam kempennya ketika ini, mendakwa BN bakal melantik Ahmad Zahid sekiranya gabungan itu berjaya menang pada PRU-15.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *