Ismail Sabri kekal calon PM Barisan Nasional, – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendiriannya tiada isu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Menurut beliau, ketika ini pun beliau tidak menjadi Perdana Menteri atau menyandang apa-apa jawatan dalam kerajaan walaupun menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Tiada isu beliau (Ismail Sabri) bukan calon PM (Perdana Menteri) (jika BN menang), kita lihat poster beliau (Ismail Sabri) ada di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Beliau mengulas kempen pembangkang yang terus menggunakan isu mendakwa Ahmad Zahid akan mengetepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Kata Ahmad Zahid, pembangkang akan menggunakan apa sahaja isu yang boleh memberi kemenangan kepada mereka.

Jelas beliau, apa yang penting bagi BN ketika ini ialah harus melepasi jumlah kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana proses untuk menjadi Perdana Menteri bukan hanya di tangan parti politik yang mempunyai gabungan parti-parti yang pelbagai tetapi juga kita harus menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

MELANTIK

“Perkara 43 (2)(1) Perlembagaan Negara menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti di dewan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, agar bertanya kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, kenapa memotong peruntukan pembangunan  di parlimen tersebut ketika menjadi Menteri Kewangan sewaktu PH memerintah negara.

Jelasnya, pertanyaan itu harus ditanya terlebih dahulu sebelum mendakwa Bagan Datuk tidak membangun sepanjang lima penggal beliau menjadi ahli parlimen di situ.

Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.3 bilion bagi pembangunan di Bagan Datuk ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Tetapi, apabila PH mengambil alih kerajaan dan Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, beliau hanya meluluskan peruntukan RM900 juta sahaja, manakala yang lain ditarik balik atau dibatal.

“Shamsul Iskandar patut bertanya kepada Guan Eng kenapa membalas dendam terhadap rakyat Bagan Datuk,” ujar beliau.

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *