Anak muda mahu kempen ketengahkan agenda, inisiatif, bukan serang menyerang

KOTA BHARU : Pengundi muda khususnya berumur 18 tahun ke atas yang bakal pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih selesa melihat calon mengenengahkan agenda yang bakal dibawa daripada kempen serang menyerang.

Seorang pelajar, Muhammad Daniel Hilman, 20, dia sudah tidak sabar untuk mengundi pertama kali dalam PRU15 dan lebih melihat kepada kriteria calon dan agenda yang bakal diketengahkan parti-parti politik sebagai pilihan.

Katanya, parti-parti politik mungkin boleh mengenengahkan calon-calon yang lebih muda, segar serta mempunyai visi dalam menarik undi golongan muda yang sudah tentunya bakal menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Katanya, dalam perkembangan media sosial yang semakin pesat khususnya di platfom Tik Tok, Twitter atau Facebook memudahkan pengundi khususnya mengikut perkembangan politik semasa negara sekali gus turut boleh menjadi rujukan membuat pilihan.

“Saya lihat, calon yang diketengahkan parti-parti politik sangat penting. Golongan muda selalunya akan lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik dan kempen perlu berjaya menawan hati pengundi buka serang menyerang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, rakyat diyakini akan memilih kerajaan daripada parti yang menyatakan fakta serta bukti ketika berkempen bukannya pihak yang menyerang peribadi dan berhujah tanpa fakta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata,  rakyat kini lebih bijak menilai dan hanya mahu mendengar inisiatif yang sudah dan bakal dijalankan pada masa akan datang.

“Perkara berkaitan serangan-serangan (ketika berkempen), itu saya rasa itu mungkin taktik, strategi lama. Zaman sekarang, pengundi baharu, pengundi muda dan sebagainya pemikirannya sudah berbeza daripada dulu.

“Mungkin mereka tak suka dengar serangan-serangan peribadi, serangan yang kadang-kadang itu kurang tepat dari segi faktanya,” katanya di Kemayan, Bera, semalam.

Seorang lagi pengundi muda, Ahmad Faris Fadzil,19, berkata, orang muda sebenarnya mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa namun melihat kepada ketidakstabilan sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka menjadi bosan.

“Di media-media sosial sekarang maklumat mengenai perkembangan politik begitu mudah diperolehi. Saya lihat kempen-kempen ahli politik selepas ini patut lebih tertumpu kepada media sosial khususnya dalam menarik sokongan orang muda,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *