Kopi Kenangan yang popular di Indonesia kini membuka cawangan pertamanya di Malaysia!

KOPI Kenangan, rangkaian makanan dan minuman (F&B) paling pesat berkembang di Indonesia membuka cawangan pertamanya, Kenangan Coffee di Malaysia dan menyasarkan untuk mempunyai 10 rangkaian menjelang suku pertama 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersamanya, Edward Tirtanata berkata, pihaknya yakin dengan pasaran di negara ini dan disebabkan itu memilih Malaysia menjadi lokasi pertama cawangannya dibuka dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Katanya, Malaysia menyaksikan peningkatan tahun ke tahun bagi penggemar kopi dan pihaknya mahu mengeksport kejayaan fenomenal model kopi grab-and-go di Indonesia ke pasaran luar negara, bermula dengan Malaysia.

“Kami akan memfokus kawasan di Lembah Klang sebelum memasuki negeri lain dan paling penting kami memilih Malaysia sebagai pengembangan pasaran pertama kami kerana kecintaan rakyat Malaysia terhadap makanan, pertumbuhan berterusan dalam budaya kopi dan banyak persamaan yang dikongsi oleh rakyat Malaysia.

“Masa depan sektor F&B juga kelihatan menjanjikan kerana Malaysia sedang berubah menjadi ekonomi digital berpendapatan tinggi dengan tumpuan utama pada pendigitalan yang selaras dengan operasi perniagaan kami.

“Kami memulakan Kopi Kenangan dengan tujuan menjadikan kopi berkualiti mampu milik dan boleh diakses oleh semua orang dan kami sangat teruja untuk berkongsi rasa kopi Indonesia kami dengan rakyat Malaysia,” katanya kepada media di majlis pelancaran Kenangan Coffee di Suria KLCC di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaannya, James Prananto.

Sementara itu, Kenangan Coffee akan membuka empat lagi kedai di MyTown Cheras, Pavillion KL, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid PJ menjelang akhir tahun ini.

Edward berkata, pihaknya juga melancarkan akademi latihannya di Uptown, Petaling Jaya untuk menyediakan pelbagai program latihan kepada barista dan pekerjanya dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai pusat latihan F&B profesional terbaik di Malaysia.

Kredit: Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *