Keputusan parti jelas, Ismail Sabri kekal sebagai PM

ALOR GAJAH : Keputusan UMNO bagi mengangkat nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri adalah jelas dan telah berkali-kali dipersetujui oleh kepimpinan parti termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh kepimpinan parti sebelum ini di mana nama Ismail Sabri akan diangkat untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Katanya, UMNO juga tidak bercadang untuk mengugurkan mana-mana kes mahkamah sekiranya mereka diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini.

“Tak ada kena mengena dengan nak mengugurkan mana-mana kes mahkamah, jauh sekali nak menamakan calon Perdana Menteri lain selain daripada keputusan parti.

“Itu adalah keputusan parti dan saya yakin seluruh kepimpinan parti termasuk presiden dah berkali-kali cakap inilah keputusan yang akan dibawa,” katanya.

Ahmad Zahid pada Oktober lalu berkata, parti itu mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Ahmad Zahid menegaskan dakwaan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO dan BN memenangi PRU15 merupakan usaha pihak-pihak tertentu untuk memecah belahkan parti.

Semalam, Khairy Jamaluddin turut menegaskan beliau tetap menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Kata calon BN Parlimen Sungai Buloh itu, perkara itu sangat jelas dan diumumkan Ahmad Zahid sendiri sebelum ini.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *