Wee Ka Siong tak pandang mudah lawannya di Parlimen Ayer Hitam menjelang PRU-15

KLUANG: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong tidak memandang mudah lawannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun mempunyai kekuatan tersendiri selepas berkhidmat kepada masyarakat di Parlimen Ayer Hitam selama empat penggal.

Wee, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) juga menganggap tentangan daripada dua lawannya sebagai cabaran besar dan perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang dipegangnya sejak 2004.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan semangat dan sokongan jentera BN dapat membantunya mengekalkan kemenangan buat kali kelima pada hari pengundian 19 Nov ini.

“Walaupun saya bukan calon berbangsa Melayu dan berhadapan dua calon Melayu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), saya yakin semangat setia kawan dalam kalangan ‘keluarga BN’ mampu memberikan kemenangan untuk kali ini,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Muafakat Ayer Hitam di sini hari ini.

Pada PRU15, Wee, 54, dicabar calon PH Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Naib Pengerusi DAP Johor serta calon PN Muhammad Syafiq A. Aziz iaitu bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Sementara itu, Sheikh Umar yang merupakan bekas Exco Johor, yakin mampu memberikan cabaran kepada ‘Abang Besar’ MCA itu.

Menurutnya walaupun Ayer Hitam boleh dianggap kubu kuat MCA, beliau akan berusaha lebih keras untuk menawannya.

“Memang bukan mudah untuk menang tapi PH akan lawan habis-habisan untuk jadikan Ayer Hitam sebagai antara kerusi yang menyumbang kemenangan pakatan, seterusnya membentuk kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Kerusi Parlimen berkenaan mempunyai 61,041 pengundi merangkumi kira-kira 58 peratus pengundi Melayu, 35 peratus pengundi Cina dan tujuh peratus India.

Pada PRU14, Wee menang tipis dengan majoriti 303 undi menewaskan Liew Chin Tong (PH) dan Mardi Marwan (PAS).

— BERNAMA

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *