Tuan Ibrahim tidak muncul hari penamaan calon

Saludin Endol (tengah) bersama pencadang, Muhaider Mohamed Kasim (kanan) dan penyokong, Mohd Shakri Yusoh di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini hari ini.

LIPIS –  Calon Perikatan Nasional (PN) dari parti PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak muncul semasa proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Timbalan Presiden Pas itu hanya menghantar wakilnya, Saludin Endol kerana beliau menghadiri penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian selaku penyandang kawasan tersebut.

Saludin bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan  atas peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan wakil masuk ke dewan bagi menghantar borang penamaan calon.

Borang diserahkan oleh pencadangnya, Muhaider Mohamed Kasim dan penyokong beliau, Mohd Shakri Yusoh.

Tuan Ibrahim mencetuskan fenomena baharu dalam landskap politik Pahang apabila diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN untuk bertanding di Dun Cheka pada PRU15.

Saludin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Lipis berkata, Tuan Ibrahim akan terus memulakan kempen dengan hasrat untuk memfokuskan bidang pembangunan dan kebajikan rakyat seperti mana yang dilakukan di kawasan Parlimen Kubang Kerian.

“Saya yakin Pas Lipis dan PN akan terus bekerja keras semasa tempoh kempen ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Tuan Ibrahim selaku calon PH bagi kerusi Dun Cheka,” katanya. – Utusan Timur

 

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *