Tiada jentera luar dipanggil, hanya bersama jentera BN Gerik – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

GERIK: Tampil sebagai calon luar, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengakui terharu apabila ahli akar umbi parti itu menerimanya sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun merupakan Ketua Pemuda UMNO Nasional, namun nasibnya pada PRU kali ini akan ditentukan gerak kerja jentera BN Gerik kerana beliau tidak akan memanggil jentera luar.

“Jentera BN Gerik di semua peringkat adalah antara yang terbaik, jadi apa keperluan saya untuk membawa jentera luar. Ini kerana ketika ini kita semua berhadapan dengan PRU15.

“Saya berpandangan, lebih baik untuk jentera Pemuda BN yang ada di seluruh negara menumpukan kepada kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sama ada UMNO, parti komponen BN lain serta Friends of BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses Penamaan Calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini pada Sabtu.

Asyraf Wajdi Dusuki sah dicalonkan mewakili BN di kerusi Parlimen Gerik pada PRU15 selepas namanya diumumkam pada sesi Penamaan Calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berdepan saingan tiga penjuru selepas dua calon lain iaitu, Ahmad Tarmizi Mohd Jam daripada calon Pakatan Harapan (PH) dan Fathul Huzir Ayob calon daripada Perikatan Nasional (PN) turut diumumkan akan bertanding di kerusi sama.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah kawasan Parlimen Gerik iaitu DUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan DUN Temengor, Salbiah Mohamed turut bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.

DUN Pengkalan Hulu juga menyaksikan persaingan daripada PH yang diwakili Mohd Saad Ismail serta Mohamad Amin Roslan daripada PN.

Pertembungan tiga penjuru juga berlaku di DUN Temenggor yang mana PH mempertaruhkan Ahmad Safwan Mohamad sementara PN, Mohd Noor Abdul Rahman diletakkan bagi merebut kerusi berkenaan.

Bagi PRU15 kali ini, Parlimen Gerik dan dua DUN di bawahnya masing-masing menyaksikan tiada calon bebas atau gabungan lain yang turut serta dalam semasa sesi penamaan calon.

Pada PRU14, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman menang kerusi berkenaan dengan majoriti 5,528 undi, mengalahkan calon Pas, Mohd Dahalan Ismail dan Ibrahim Mohd Hanafiah (PKR).

Kredit: Astro Awani

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *