PRU15: Jentera BN diingatkan tidak melakukan serangan peribadi ketika berkempen

MACHANG : Semua jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini diingatkan supaya tidak sesekali melakukan serangan peribadi kepada calon-calon bagi meraih undi sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, semua pihak perlu menghormati konsep dan sistem demokrasi dalam negara dengan kepelbagaian pendapat supaya kempen-kempen dapat dilaksanakan mengikut lunas-lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah memberi persembahan terbaik dan meyakinkan rakyat supaya BN dapat menjadi pilihan yang pertama.

“Kita semua ada kelemahan serta kelebihan, jadi jangan menyerang peribadi masing-masing dan tidak boleh memandang rendah mana-mana pihak kerana mereka juga mempunyai peluang dan rakyat akan menentukan.

“Apa yang paling penting, kita bercakap soal dasar parti, kemampuan parti yang kita wakili kali ini untuk membawa suara rakyat dan memberi kepentingan kepada rakyat,”,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC), Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang berkata, semua pihak telah sedia maklum dengan rekod pencapaian BN dalam urus tadbir dan juga menjaga kepentingan rakyat yang sudah berdekad lamanya.

Katanya, setakat ini lebih 40 projek yang membabitkan kepentingan rakyat secara menyeluruh dilaksanakan sepanjang tempoh dua penggal beliau di Parlimen Machang.

“Kita tidak perlu ceritakan apa yang perlu BN buat kerana rakyat sudah tahu, malah banyak projek yang telah dilaksanakan serta yang masih dalam pelaksanaan.

“Insya-Allah, kita akan meneruskan konsep yang diwujudkan oleh BN untuk kepentingan rakyat kerana rakyat didahulukan untuk keseluruhan masyarakat majmuk tidak kira bangsa mana sekalipun untuk kestabilan politik,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *