Nazri Ngah tidak gentar saingan lima penjuru di DUN Pulau Tawar

Dua dari kiri Nazri, Zukarmi, Fasal dan Faizah berdoa sebelum sesi penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Jerantut hari ini.

 

JERANTUT – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dari Barisan Nasional (BN) tidak gentar saingan lima penjuru menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau bakal bersaing dengan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ridzuan Mansor yang bertanding calon Bebas; Yohanis Ahmad dari Perikatan Nasional (PN), wakil Pakatan Harapan (PH), Norani Mohd dan Mohd Rozidi Hasan (Pejuang).

Nazri berkata, beliau bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertanding kali kedua dan memberi mandat kepada rakyat untuk menilai sumbangannya sebagai wakil rakyat bagi tempoh sepenggal sebelum ini.

“Saya sudah membantu penduduk di DUN Pulau Tawar sama ada kawasan kampung tradisional mahupun tanah rancangan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Saya menyeru semua pengundi agar terus memberi sokongan kepada BN bagi memastikan parti keramat itu terus memerintah negeri ini dan lebih banyak bantuan dapat disalurkan selepas ini,” katanya selepas selesai penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) hari ini.

Menurutnya, pertembungan lima penjuru lebih baik berbanding satu lawan satu kerana rakyat ada pilihan untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Saya akan berkhidmat dengan lebih baik sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat bagi penggal kedua nanti,” ujarnya.

Pada PRU14, Nazri yang mendapat 8,446 undi menang dengan majoriti 587 menewaskan calon Pas, Ahmad Nawawi Samah (7,859) dan Jamaludin Abdul Rahim (PH) dengan hanya 1,973 undi.

Selaku Ketua UMNO Bahagian, beliau turut menyeru rakyat agar mengundi calon BN di peringkat Parlimen, DUN Damak dan Tahan agar mendapat kemenangan 4-0 setelah hanya memenangi dua kerusi sahaja pada PRU14 lalu.

Bagi Parlimen Jerantut, calon BN, Datuk Zukarmi Abu Bakar akan dicabar oleh Khairil Nizam Khirudin (PN) dan Datuk Dr. Hasan Basri Awang Mat Dahan (PH).

Sementara itu, DUN Tahan pula menyaksikan saingan tiga penjuru iaitu Mohd Abd Talib Mohd Taha (PH), Mohd Zakuan Ahmad Badarddin (PN) dan Faizah Isyak (BN).

Bagi DUN Damak pula, Penyandangnya Zuridan Md Daud (PN) akan ditentang oleh Izzudin Ismial (Bebas), Muhamad Fasal Jamlus (BN) dan Mohd Ramli Satar (PH). – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *