Naib Ketua UMNO Bahagian Jerantut bertanding calon Bebas di DUN Pulau Tawar

JERANTUT – Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ridzuan Mansor membuat kejutan apabila mahu bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan luar jangkaan itu sudah pasti menjadi isu panas apabila Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan Pakcik Prihatin bakal mencabar penyandang kerusi berkenaan Datuk Nazri Ngah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat apabila beliau tidak berpuas hati dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) di peringkat parlimen serta DUN yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya rasa seolah-olah dikhianati oleh tangan ghaib dalam UMNO itu sendiri apabila meletakkan calon yang kurang sesuai sedangkan ramai lagi yang lebih layak.

“Rancangan ini bagaikan membunuh karier politik di peringkat awal sekiranya calon yang dipilih tidak mampu bersaing dengan calon daripada parti lain yang lebih berpengalaman,” katanya kepada pemberita.

Beliau memilih bertanding di kawasan sendiri menggunakan logo gajah dan akan bertindak secara profesional serta berusaha membela nasib generasi muda.

Ridzuan (tengah) bersama sebahagian penyokongnya pada sidang media di Kampung Temin semalam. 

Ridzuan memberitahu, walaupun bertanding parti Bebas namun hatinya tetap bersama UMNO dan beliau akan berusaha menghapus kudis-kudis yang wujud agar menjadi pengajaran dalam parti itu.

“Saya mempunyai penyokong sendiri dan saya akan menggunakan pengalaman membantu menyelesaikan beberapa masalah rakyat sebelum ini sepanjang kempen PRU15. – Utusan Timur

 

 

 

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *