Bekalan telur kurang kerana kos penternakan anak ayam terlalu tinggi sehingga sukar ditampung penternak

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos penternakan anak ayam yang terlalu tinggi sehingga semakin sukar ditampung penternak, dikatakan antara faktor utama masalah kekurangan bekalan telur dalam pasaran ketika ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau, berkata rata-rata penternak mendakwa mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu berikutan menanggung kos operasi tinggi sepanjang tempoh anak ayam mengambil masa sekurang-kurang enam hingga tujuh bulan untuk mencapai tempoh matang bertelur.

Beliau mendakwa, keadaan itu menyebabkan ada penternak yang terpaksa memulangkan semula sebahagian anak ayam yang diternak, kepada pembekal.

“Sebelum ini, kos pengeluaran telur masih boleh ditampung kerana kos operasinya tidak terlalu tinggi. Bagaimanapun pada 2020 dan 2021, kos terus meningkat secara mendadak disebabkan harga dedak naik hampir 100 peratus.

“Walaupun penternak ingin menaikkan harga telur bagi menampung peningkatan kos itu, mereka tidak boleh berbuat demikian kerana perlu mematuhi kawalan harga ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi salah sebuah agensi media tempatan, hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengaku tidak dapat mengambil tindakan segera berhubung isu kekurangan bekalan telur serta peningkatan harga ayam sejak kebelakangan ini, berikutan kedudukan kerajaan sementara sekarang.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa dipetik mengaku perkara itu, sekali gus memaklumkan ada kebimbangan mengenai kekurangan barangan tertentu dan pihaknya mendapati harga ayam juga mula meningkat melepasi harga siling.

Mengulas lanjut, Yoon Yeau menjelaskan walaupun kerajaan memperuntukkan subsidi, namun kebanyakan penternak mendakwa ia masih tidak dapat menangani masalah kerugian yang dialami sejak 2019.

“Selain itu, terdapat kelewatan dalam pembayaran subsidi berkenaan, malah ada penternak belum menerimanya hampir tiga bulan sehingga terpaksa menampung sendiri kos operasi,” dakwanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan ada penternak bertindak menyorok bekalan telur, sebaliknya mendakwa masalah kekurangan juga disebabkan kira-kira 15 peratus telur terpaksa dilupuskan akibat rosak atas pelbagai faktor.

Justeru bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur, Yoon Yeau mencadangkan supaya kerajaan mempercepat pembayaran subsidi kepada penternak, selain berharap kawalan harga dapat dikaji semula.

Sementara itu, tinjauan salah sebuah agensi media tempatan di sekitar ibu kota, semalam, mendapati peruncit dan pemborong telur ayam berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan mencukupi, dengan peniaga mendakwa terpaksa mengehadkan jualan hingga 50 peratus sejak hampir empat bulan lalu.

Malah, sesetengah pelanggan juga dikatakan terpaksa membuat tempahan awal untuk membeli bahan mentah terbabit.

Kredit: Berita Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *