Zahid Hamidi tepis dakwaan kononnya kecilkan kemenangan BN demi PH

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Pengerusi BN itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baru bertanding.

“Fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.

“Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti Amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981.

“InsyaAllah UMNO khususnya dan BN keseluruhannya terus memilih kesederhanaan dalam politik sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN mahukan kemenangan besar sebagai wadah penting dalam memperjuangkan politik kesederhanaan.

“Ini terbukti mampu menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara,” ujarnya.

Pada Khamis, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perancangan sulit untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Saya tegaskan jika kita tidak keluar mengundi, kita seolah-olah memberi hak kepada seorang yang tidak layak untuk memerintah negara.

“Kita tidak boleh membiarkan BN dan PH kembali berkuasa dan rakyat mesti memastikan perancangan sulit mereka untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU tidak berlaku,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *