Ahli BN perlu fokus kemenangan parti, sokong calon dipilih – PM

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua ahli Barisan Nasional (BN) memberikan fokus memastikan kemenangan parti dengan menyokong calon yang dipilih.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua ahli BN perlu bekerja keras dan mengenepikan perbezaan pandangan dan masalah yang timbul kerana apa yang penting adalah parti.

“Saya mendengar ada bahagian dan Parlimen yang mengalami sedikit masalah dan ini merupakan perkara yang biasa setiap kali pilihan raya negeri, pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sekali pun memang akan ada isu-isu yang timbul di kawasan Parlimen.

“Saya pernah sebutkan dulu bahawa tidak semua yang akan bertanding walaupun di setiap kawasan Parlimen semuanya layak untuk bertanding tetapi yang terpilih seorang sahaja,”katanya dalam sidang akhbar selepas melawat bilik gerakan BN Bera di sini hari ini.

Isu pemilihan calon menjadi antara isu panas dalam BN pada masa ini selepas beberapa nama besar digugurkan selain pemilihan calon baharu yang mendapat bantahan sebahagian ahli-ahli BN.

Ekoran itu juga terdapat bekas Ahli Parlimen BN seperti Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan, membuat keputusan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) begitu juga penyandang Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib yang bertanding mewakili PN.

Sementara itu mengulas mengenai penamaan calon esok beliau meminta semua penyokong parti tidak menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya perbalahan.

Beliau berkata, semua penyokong yang akan turun menyokong calon perlulah hormat menghormati antara satu sama lain dan memberi keutamaan kepada keharmonian.

“Kita semua sama-sama hantar mengiringi calon kita dengan harapan calon kita boleh bertanding dengan baik dan menang selepas itu, esok hanyalah hari pertama penamaan calon, jadi janganlah tiba-tiba kerana provokasi terebut berlaku pergaduhan dan sebagainya.

“Yang pentingnya semua mempunyai nawaitu yang sama untuk menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *