11 wilayah di Thailand perlu berwaspada, serpihan roket China bakal terhempas – GISTDA

BANGKOK – Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa Lepas (GISTDA) mengeluarkan amaran kepada 11 wilayah agar berwaspada terhadap kebarangkalian serpihan roket milik China terhempas di Thailand, lapor laman berita Thaiger.

Penyelidik dan pakar mekanik orbit GISTDA, Sittporn Chamnarnsin berkata, roket Longmarch 5B-4Y diramal jatuh esok.

Ia kini memasuki atmosfera Bumi dan berada pada ketinggian sekitar 177 kilometer.

Longmarch 5B-4Y memiliki berat 21.6 tan, namun pakar-pakar menjangkakan tidak semua bahagian roket  itu akan terhempas ke  Bumi kerana kebanyakan komponennya akan hancur dan terbakar di atmosfera.

Sittporn berkata, risiko  serpihan roket itu terhempas di Thailand adalah kecil iaitu 1.4 peratus.

Ia dikatakan bergerak merentasi Thailand  antara pukul 1.54 petang hingga 1.56 petang (waktu tempatan) dengan melintasi wilayah Chiang Rai, Chiang Mai, Payao, Nan Nong Khai, Udon Thani, Kalasin, Roi Et, Yasothorn, Amnat Charoen dan Ubon Ratchathani.

Tambah GISTDA, pihaknya hanya dapat menganggarkan lokasi serpihan roket itu jatuh apabila ia berada pada altitud sekitar 130 kilometer.

Ia  dijangka jatuh di laut, namun arahnya boleh berubah bergantung kepada beberapa faktor seperti cuaca.

“Penduduk perlu sentiasa mengikuti rapat perkembangan berita. Objek angkasa lepas boleh menjejaskan kehidupan kita lebih daripada yang kita sangkakan,” kata Sittiporn. – Agensi

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *