Shahidan sah lawan Arau, PN umumkan nama Shahidan malam ini

ARAU : Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau mengesahkan akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

Nama Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau sejak empat penggal itu sebagai calon gabungan tersebut dijadual diumumkan dalam majlis memperkenalkan calon PN Perlis di Kompleks Pas Kangar malam ini.

Shahidan telah menerima ‘restu’ daripada PN pusat untuk bertanding di kerusi berkenaan sekali gus bakal menjadi sandaran membantu gabungan tersebut menang Parlimen Arau
dan keseluruhan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan.

Shahidan yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau akan lawan calon BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman di parlimen berkenaan.

“Bukan sahaja penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya nak UMNO juga sokong saya. Semua gerakan di Arau yang atur selama ini daripada A sampai Z.

“Tiba-tiba tolak macam itu sahaja (calon) ambil pula bukan jawatankuasa bahagian, orang luar. Di Arau ini akan menjadi model muafakat nasional.

“Insya-Allah selain Parlimen Arau, empat kerusi DUN dalam tangan dan satu lagi DUN tunggu,” katanya.

BN kelmarin mengugurkan nama Shahidan untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mengumumkan Rozabil sebagai pengganti calon di kawasan itu.

Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga tidak akan mempertahankan kedudukannya dan akan digantikan dengan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *