PRU15: Tuan Ibrahim calon Menteri Besar jika PN menang di Pahang?

KUANTAN: Calon Menteri Besar biasanya akan dipilih daripada parti yang menang banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Itu penegasan dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pada PRU15 ini, daripada 42 kerusi DUN di Pahang, Pas diberikan kerusi paling banyak iaitu 24, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 13 kerusi dan Gerakan (lima kerusi) sekali gus memperlihatkan calon Menteri Besar lebih terarah kepada parti itu.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dicalonkan bertanding di negeri ini iaitu di DUN Cheka di Lipis.

Kawasan majoriti Melayu itu dikatakan dapat memberikan laluan mudah kepada Tuan Ibrahim yang dikenali penduduk di situ kerana berasal daripada Kampung Batu Balai Jerantut bersempadan Cheka.

Saifuddin berkata, PN Pahang sudah ada calon Menteri Besar dan ia akan diumumkan bila sampai masanya.

“Kita sudah ada calon Menteri Besar dan tentunya bukan saya sebagai Pengerusi PN Pahang, itulah cantiknya PN, saya pengerusi, Bersatu tidak tanding paling banyak kerusi dan saya bukan calon Menteri Besar.

“Siapa yang jadi calon Menteri Besar kita akan umumkan apabila sampai masanya,” katanya pada majlis pengenalan calon Parlimen Indera Mahkota, DUN Beserah dan DUN Semambu di Dewan Atabara di sini.

Saifuddin akan mempertahankan kerusi Indera Mahkota dan Andansura Rabu mempertahankan kerusi DUN Beserah manakala bagi kerusi DUN Semambu, PN meletakkan calon baharu iaitu Zulfadli Zakariah.

Pada PRU-14 lalu, DUN Cheka dimenangi calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Lee Ah Wong dengan majoriti 202 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, Ah Wong mendapat 3,475 undi manakala calon Pas, Salahudin Endol (3,273 undi) dan calon PKR, Rasid Muhamad mendapat 2,930 undi.

Kredit: Utusan

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *