Penuh dengan kepuasan, konsert Rossa bagaikan pelepas rindu!

KUALA LUMPUR: Satu kepuasan yang tidak terkata.

Itu yang boleh digambarkan ketika peminat berpeluang menyaksikan sendiri figura seni suara Indonesia, Datuk Seri Rossa, dalam Konsert Rossa 25 Shining Years yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Rabu.

Mana tidaknya, sejurus berakhirnya konsert tersebut, pastinya ada antara peminat yang tidak boleh move on dengan persembahan yang bertenaga dan memukau dalam setiap lagu yang disampaikan oleh Rossa.

Malah, selain dapat mengubat rindu untuk mendengar pelantun lagu Ayat-ayat Cinta itu beraksi secara langsung di atas pentas, peminat juga dihiburkan dengan persembahan bonus daripada rakan penyanyi Indonesia, Cakra Khan yang turut hadir pada malam tersebut.

Jelas Rossa, beliau akui terkejut dengan kehadiran Cakra yang sanggup terbang dari Indonesia hanya semata-mata untuk menonton konsertnya di Malaysia.

“Saya betul-betul terkejut, sebab saya memang tidak tahu dia hadir tapi selepas baca di monitor sudah tentu saya mahu jumpa dengan dia.

“Dia datang sini hanya mahu menonton saya, dan jam 4 pagi nanti dia dah nak balik Indonesia kembali,” kata Rossa dalam sidang media sejurus selepas Konsert Rossa 25 Shining Years menutup tirai.

Pada malam itu, Cakra mendendangkan dua buah lagu popularnya iaitu Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah ketika dijemput naik ke pentas oleh Rossa.
Tidak terhenti disitu, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) juga menjadi riuh rendah apabila Rossa turun daripada pentas dan menghulurkan mikrofon kepada legenda rock Malaysia, Datuk Amy Search bagi turut sama menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu bersama beliau.

Selain Cakra Khan dan Amy Search, antara selebriti yang turut hadir memberi sokongan menyaksikan konsert itu adalah Fasha Sadha, Liza Abdullah, Ifa Raziah, Anna Jobling dan Shiha Zikir.

Sebanyak 27 buah lagu didendangkan Rossa pada malam tersebut termasuk Jangan Hilangkan Dia, Tegar, Hati Yang Tersakiti, Pudar, Hey Ladies, dan juga Terlanjur Cinta dinyanyikan bersama tetamu jemputan, Judika.

Bukan sahaja Judika, malah Hael Husaini juga menjadi penyanyi jemputan dengan menyanyikan lagu Haram, Ku Menunggu dan Kamu Yang Ku Tunggu nyanyian asal bersama Afgan.

Konsert berkenaan juga mendapat garapan muzik empat pengarah muzik terkenal iaitu Dandy Lashido, Risyanda, Eka Gustiwana dan Andi Rianto.

Konsert Rossa 25 Shining Years merupakan jalinan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di mana sebahagian daripada hasil jualan tiket disampaikan kepada pelajar-pelajar pengajian tinggi yang memerlukan.

Kredit: Astro Awani

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *