Pembukaan pintu sempadan kembalikan limpahan ekonomi

PEMBUKAAN sempadan negara bermula 1 April lalu mengembalikan limpahan ekonomi serta merancakkan kembali sektor pelancongan yang mula menjadi tumpuan kebelakangan ini.

Malah, kenderaan-kenderaan perdagangan terus meningkat di laluan keluar masuk Malaysia Thailand itu yang secara tidak langsung merancakkan sektor ekonomi.

Manakala penjaja-penjaja kecil khususnya di lokasi-lokasi pelancongan serta peniaga di sempadan antara menikmati limpahan ekonomi dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Sebelum Covid-19, sektor pelancongan adalah satu daripada penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Pada 2019, sektor pelancongan menyumbang 13.3 peratus kepada KDNK negara apabila 26.1 juta pelawat antarabangsa pada tahun itu membelanjakan kira-kira RM86.14 bilion.

Semua itu adalah penyumbang sebanyak RM240.5 bilion kepada Nilai Ditambah Kasar untuk Industri Pelancongan (NDKIP), bersamaan 15.9 peratus kepada KDNK 2019.

Ia secara tidak langsung menambah pendapatan kerajaan dari segi cukai, yang kemudian dikitar semula ke dalam ekonomi negara melalui projek pembangunan, termasuk pembinaan sekolah, jalan raya dan hospital.

Justeru, pembukaan sempadan adalah langkah positif khususnya bagi industri pelancongan.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia merupakan titik tolak penting bagi memulihkan ekonomi negara.

Bagi seorang peniaga di arked niaga Padang Besar, Siti Asma Kadir,22, berkata, pembukaan sempadan negara telah merancakkan lagi lokasi pelancongan tersebut.

Katanya, para peniaga di sini kembali merasai nikmat limpahan ekonomi apabila pelancong luar khususnya dari Thailand datang ke negara ini.

“Para peniaga sangat berharap keadaan ekonomi kembali baik seperti sebelum pandemik sebelum ini.

“Dalam fasa pandemik dan PKP sebelum ini, para peniaga di Padang Besar sangat terkesan ekoran lokasi pelancongan ini sunyi sepi. Malah ramai juga yang terpaksa gulung tikar.

“Kini, keadaan semakin pulih dan para peniaga di sini sudah bangkit semula dan pembukaan pintu sempadan negara ada langkah permulaan ke arah pemulihan ekonomi,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *